6 TIKET VIP KE SYURGA YANG HARUS KITA MILIKI

6 TIKET VIP KE SYURGA YANG HARUS KITA MILIKI

Terdapat enam ‘tiket’ ke syurga yang perlu kita rebutkan. ‘Tiket’ ini bukan sembarangan, bukan biasa-biasa. Kelasnya VIP kerana mendapat jaminan daripada kekasih Pencipta syurga, Nabi Muhammad SAW.

Baginda SAW memberikan jaminan enam ‘tiket’ syurga bagi sesiapa yang melaksanakannya. Baginda bersabda yang bermaksud:

“Jaminlah untukku enam perkara darimu, aku jamin syurga untukmu. Bercakap benar apabila berbicara, menepati janji tatkala berjanji, melaksanakan amanah andai diberi, peliharalah kemaluanmu, tundukkanlah pandangan matamu dan tahanlah tanganmu.” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban dan Baihaqi).

6 TIKET VIP KE SYURGA

Apakah 6 tiket VIP ke Syurga tersebut?

1) Bercakap Benar– Bukan sekadar berani berkata benar, tetapi memastikan maklumat yang disampaikan daripada sumber yang tepat lebih jauh pentingnya. Malah tidak memanjangkan cerita daripada sumber yang meragukan dan tidak menyembunyikan kebenaran demi kepentingan sendiri, itu termasuk dalam kategori bercakap benar.

Rasulullah SAW mengingatkan:

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka berkatalah yang baik ataupun diam.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

2) Menepati Janji– Tepatilah apa yang telah dijanjikan biarpun terpaksa berkorban masa, tenaga dan wang ringgit. Sebab itu, tidak mudah sebenarnya untuk mengatakan ‘ya’ pada sesuatu yang sukar ditunaikan. Ingat, orang yang tidak menepati janji ini termasuk dalam kategori munafik. Maka, berhati-hatilah ketika berjanji.

3) Melaksanakan Amanah- Amanah juga dianggap sebagai jujur. Andai diberi kuasa, gunakan kuasa tersebut dengan amanah. Tidak kira yang salah itu teman rapat ataupun tidak, yang salah tetap salah dan perlu dihukum. Begitu juga apabila kita ingin meminjam motor sahabat misalnya, pastikan kita meminta keizinan sahabat terlebih dahulu sebelum menggunakannya.

Rasulullah memberi amaran:

“Tanda-tanda orang munafik ada tiga. Apabila berkata, ia berdusta. Apabila berjanji, ia ingkari dan apabila dipercayai, ia khianati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

4) Memelihara Kemaluan– Memelihara kemaluan bermaksud memelihara diri daripada mendekati zina. Perzinaan bukan sahaja menjauhi perzinaan yang berlainan jantina, sesama jantina juga perlu dielakkan. Budaya couple, adik angkat atau abang angkat, sms yang berbaur lucah dan berkongsi gambar yang membuka aurat, semuanya ini boleh menjerumuskan seseorang ke lembah perzinaan.

5) Menundukkan Pandangan– Menundukkan pandangan bukanlah tidak boleh memandang apa-apa, tetapi memelihara mata daripada melihat sesuatu yang membangkitkan syahwat. Peliharalah mata, In Shaa Allah terpelihara syahwat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Pandangan ialah panah daripada panah-panah iblis yang beracun, maka sesiapa yang meninggalkannya kerana takutkan Allah, maka Allah akan memberikan kepadanya ganjaran kemanisan iman dalam hatinya.” (Riwayat al-Hakim).

6) Menahan Tangan– Peliharalah tangan dan kelakuan kita daripada menyakiti orang lain. Tidak kira sama ada memukul, mencuri, mengambil hak orang lain, menekan butang like atau share pada status yang mengaibkan seseorang di media sosial, merosakkan harta awam dan vandalisme merupakan perbuatan yang ditegah oleh Islam. Gunakan nikmat tangan dan tenaga kita ke arah ketaatan kepada Allah SWT.

Wallahuaklam.

Rujukan- Gen-Q 35:25 (6 TIKET VIP KE SYURGA YANG HARUS KITA MILIKI).

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *