Amalan-Amalan Yang Baik Dilakukan Pada Musim Haji (Zulhijjah)

Amalan-Amalan Yang Baik Dilakukan Pada Musim Haji (Zulhijjah)

Di antara amalan-amalan yang baik dilakukan pada Musim Haji atau Zulhijjah adalah:

1. SOLAT. Disunatkan keluar cepat menuju ke tempat solat fardhu (berjemaah) dan memperbanyakkan solat sunat kerana ianya sebaik-baik amalan. Thauban RA berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu.” [HR Muslim]. Ini umum untuk semua waktu.

2. PUASA. Kerana ia juga termasuk di dalam amalan soleh. Dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari setengah isteri-isteri Rasulullah SAW berkata: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijjah, pada hari Asyura (10 Muharram) dan tiga hari pada setiap bulan.” [HR Imam Ahmad, Abu Daud dan Nasa’ei]

Kata Imam An-Nawawi: Berpuasa pada hari-hari sepuluh adalah sunat yang sangat digalakkan.

3. TAKBIR, TAHLIL dan TAHMID. Ini kerana hadis Ibnu Umar yang di atas mengatakan: “Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (mengucapkan La-ilaha-illaLlah), bertakbir (mengucapkan Allahu-Akbar) dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah).”

Kata Imam Bukhari: “Ibnu Umar dan Abu Hurairah RA menuju ke pasar pada hari-hari sepuluh dan bertakbir. Orang ramai yang mendengarnya kemudian turut bertakbir sama.”

Katanya lagi: “Ibnu Umar sewaktu berada di dalam khemahnya di Mina bertakbir, apabila orang ramai yang berada di masjid dan pasar mendengarnya, mereka turut bertakbir sama sehingga Mina riuh dengan suara takbir.”

Ibnu Umar RA bertakbir di Mina pada hari-hari tersebut selepas mengerjakan solat, pada waktu rehat, di dalam majlis dan di semua tempat. Maka sunat mengangkat suara sewaktu bertakbir berdasarkan perbuatan Sayyidina Umar, anaknya dan Abu Hurairah RA.

Wallahuaklam.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *