CARA MENGUBAT JIWA YANG KOSONG

Jiwa kita kosong sekiranya tujuan hidup masih belum jelas.  Persoalan-persoalan seperti dari mana aku datang, siapa yang menciptakan aku, untuk apa aku diciptakan, ke mana aku selepas dunia musnah, perlu selalu ditanya kepada diri supaya dapat hidup di dunia dengan agenda yang teratur dan bermatlamat.

CARA MENGUBAT JIWA YANG KOSONG

Apakah ubat jiwa dan bagaimana menggunakannya?

Islam mengesyorkan perkara-perkara berikut sebagai ubat kepada jiwa manusia yang kosong dan sakit:

1) Membaca al-Quran

  • Menjadikan al-Quran sebagai ubat motivasi.
  • Terapkan ajaran al-Quran dalam realiti kehidupan.
  • Ambil ilmu daripada al-Quran dan mengamalkannya.
  • Berusaha disiplinkan diri mengkhatamkan bacaan al-Quran paling kurang 3 bulan sekali.

2) Qiamullail

  • Mulakan dengan yang sedikit. Yang penting dapat melakukan qiamullail secara istiqamah.
  • Bangun malam sebulan sekali, kemudian latih untuk bangun malam seminggu sekali pula.
  • Kejutkan orang lain untuk qiamullail bersama.

3) Istighfar

  • Baca perlahan-lahan untuk menghayati makna yang dilafazkan.
  • Maksud bacaan istighfar: “Aku mohon keampunan-Mu, tiada Tuhan kecuali Engkau yang sentiasa hidup dan sentiasa waspada (jaga). Ya Allah, aku bertaubat kepada-Mu.”
  • Hitung bacaam istighfar 10 kali, 70 kali ataupun 100 kali setiap kali selesai solat.

4) Mengingati mati

  • Tubuh terbujur kaku, manusia menangisi pemergian, harta dan pangkat tidak boleh di bawa bersama.  Apakah amalan yang hendak dipersembahkan? Jangan terkurang dos pengambilannya dalam sehari.

5) Menangis dan mengadu

  • Tiasa siapa yang lebih kuat melainkan Allah, tempat memohon kekuatan.
  • Semoga dengan pengaduan kepada Rab, segera menyembuhkan penyakit jiwa.
  • Hadis Nabi s.a.w. maksudnya: “Aku haramkan neraka kepada mata yang selalu menangis kerana takut kepada Allah.” (Riwayat Ahmad dan al-Nasa’i).

Semoga apa yang kita kongsikan ini dapat kita amal dan sampaikan.

Wallhuaklam.

Rujukan: Gen-Q 09: 62-63 (CARA MENGUBAT JIWA YANG KOSONG).

 

JALAN PINTAS KE SYURGA

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Kamu tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman dan kamu tidak akan beriman sehinggalah kamu saling berkasih sayang. Mahukah kamu aku tunjukkan sesuatu yang apabila kamu lakukan akan berkasih-sayang? Sebarkanlah salam antara kamu.” (Riwayat Muslim).

Ada sesiapa yang tidak mahu ke Syurga? Mustahil ada. Pastinya semua makhluk mengidamkan menjadi ahli syurga. Oleh itu, hadis ini memberi gambaran kepada kita berkenaan sifat bakal penghuni syurga.

Justeru, Nabi s.a.w. menyenaraikan ciri-ciri ahli syurga:

1) Beriman kepada Allah.
2) Berkasih sayang.
3) Memberi dan menjawab salam.

Rasa-rasanya mudah atau tidak untuk memastikan tiga-tiga ciri ini disematkan dalam diri? Hakikatnya mudah bagi sesiapa yang mengimpikan menjadi ahli syurga. Apa tidaknya, tanpa memerlukan modal, kita mampu ke syurga. Now everyone can fly to jannah!

Jalan Pintas ke Syurga

Dengan sentiasa menyebarkan salam, maka tumbuhlah putik-putik bunga kasih sayang di hati-hati manusia. Seterusnya mekarkan bunga kasih sayang ini dengan ukhuwah. Akhirnya, terhasilah kemanisan madu iman daripada Allah. Dengan keimanan itulah yang membawa kita ke syurga-Nya.

Sumber: Gen-Q 36:10 (Jalan Pintas ke Syurga).

 

ADAKAH BERIKTIKAF SEMESTINYA DI MASJID SAHAJA?

Beriktikaf di masjid adalah sunat dilakukan pada bulan puasa. Tetapi, sekiranya kita berniat untuk beriktikaf di rumah sahaja, adakah ia dibolehkan?

Dalam kitab Lisan al-Arab, iktikaf bermakna merutinkan sesuatu.Orang yang mengharuskan dirinya untuk berada dan mengerjakan ibadah di dalam masjid disebut mu’takifun atau ‘akifun.

beriktikaf di masjid

Abu Hurairah meriwayatkan dalam Sahih Bukhari bahawa Rasulullah s.a.w. biasa beriktikaf pada setiap Ramadan selama 10 hari dan pada akhir hayat, Baginda melakukan iktikaf selama 20 hari.

Kalau di rumah, itu bukan namanya iktikaf. Iktikaf hanya boleh dilakukan di masjid. Terlalu banyak godaan di rumah seperti TV, tilam yang empuk dan makanan yang enak-enak.

Pergilah ke masjid, di sana ada suasana ibadah yang harmoni dan membangkitkan rasa untuk terus beribadah secara bersungguh-sungguh.

Wallahuaklam.

Rujukan: Ust Ridhwan Huzairi (Dipetik dari Gen-Q 35:81) – ADAKAH BERIKTIKAF SEMESTINYA DI MASJID SAHAJA?.