ASAL USUL TELAGA ZAMZAM

Tahukah anda mengenai asal-usul telaga zamzam?

Kini telaga mungkin masih ada tetapi penggunaan telaga tidak lagi meluas. Yang ada hanya telaga di kawasan pedalaman yang tiada sistem perpaipan yang bagus.

Kita semua tentu pernah mendengar kisah seorang ibu bersama anaknya yang ditinggalkan di kawasan yang tidak berpenghuni atas perintah Allah. Apabila bekalan air yang dibekalkan oleh suami sudah habis, mereka kehausan.

Lantas si ibu berlari-lari anak di antara dua buah bukit kerana mencari sumber air. Nampak mustahil, tetapi itulah yang berlaku kepada Siti Hajar dan puteranya, Ismail a.s. yang masih menyusu.

TELAGA ZAMZAM

Dengan tidak disangka-sangka, pertolongan Allah datang melalui malaikat. Malaikat membenamkan sayapnya ke dalam tanah sebelum kawasan tersebut memancarkan air.

Siti Hajar menceduk air tersebut, memasukkan ke dalam bekas air dan meminumnya. Ajaibnya, air tersebut tidak henti-henti mengalir keluar. Sehingga kini, sumber air tersebut telah digunakan oleh berjuta-juta orang yang menunaikan ibadah haji. Itulah telaga air zamzam.

Wallahuaklam.

Rujukan: Gen-Q 35:82-83 (ASAL USUL TELAGA ZAMZAM).

 

6 TIKET VIP KE SYURGA YANG HARUS KITA MILIKI

Terdapat enam ‘tiket’ ke syurga yang perlu kita rebutkan. ‘Tiket’ ini bukan sembarangan, bukan biasa-biasa. Kelasnya VIP kerana mendapat jaminan daripada kekasih Pencipta syurga, Nabi Muhammad SAW.

Baginda SAW memberikan jaminan enam ‘tiket’ syurga bagi sesiapa yang melaksanakannya. Baginda bersabda yang bermaksud:

“Jaminlah untukku enam perkara darimu, aku jamin syurga untukmu. Bercakap benar apabila berbicara, menepati janji tatkala berjanji, melaksanakan amanah andai diberi, peliharalah kemaluanmu, tundukkanlah pandangan matamu dan tahanlah tanganmu.” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban dan Baihaqi).

6 TIKET VIP KE SYURGA

Apakah 6 tiket VIP ke Syurga tersebut?

1) Bercakap Benar– Bukan sekadar berani berkata benar, tetapi memastikan maklumat yang disampaikan daripada sumber yang tepat lebih jauh pentingnya. Malah tidak memanjangkan cerita daripada sumber yang meragukan dan tidak menyembunyikan kebenaran demi kepentingan sendiri, itu termasuk dalam kategori bercakap benar.

Rasulullah SAW mengingatkan:

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka berkatalah yang baik ataupun diam.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

2) Menepati Janji– Tepatilah apa yang telah dijanjikan biarpun terpaksa berkorban masa, tenaga dan wang ringgit. Sebab itu, tidak mudah sebenarnya untuk mengatakan ‘ya’ pada sesuatu yang sukar ditunaikan. Ingat, orang yang tidak menepati janji ini termasuk dalam kategori munafik. Maka, berhati-hatilah ketika berjanji.

3) Melaksanakan Amanah- Amanah juga dianggap sebagai jujur. Andai diberi kuasa, gunakan kuasa tersebut dengan amanah. Tidak kira yang salah itu teman rapat ataupun tidak, yang salah tetap salah dan perlu dihukum. Begitu juga apabila kita ingin meminjam motor sahabat misalnya, pastikan kita meminta keizinan sahabat terlebih dahulu sebelum menggunakannya.

Rasulullah memberi amaran:

“Tanda-tanda orang munafik ada tiga. Apabila berkata, ia berdusta. Apabila berjanji, ia ingkari dan apabila dipercayai, ia khianati.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

4) Memelihara Kemaluan– Memelihara kemaluan bermaksud memelihara diri daripada mendekati zina. Perzinaan bukan sahaja menjauhi perzinaan yang berlainan jantina, sesama jantina juga perlu dielakkan. Budaya couple, adik angkat atau abang angkat, sms yang berbaur lucah dan berkongsi gambar yang membuka aurat, semuanya ini boleh menjerumuskan seseorang ke lembah perzinaan.

5) Menundukkan Pandangan– Menundukkan pandangan bukanlah tidak boleh memandang apa-apa, tetapi memelihara mata daripada melihat sesuatu yang membangkitkan syahwat. Peliharalah mata, In Shaa Allah terpelihara syahwat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Pandangan ialah panah daripada panah-panah iblis yang beracun, maka sesiapa yang meninggalkannya kerana takutkan Allah, maka Allah akan memberikan kepadanya ganjaran kemanisan iman dalam hatinya.” (Riwayat al-Hakim).

6) Menahan Tangan– Peliharalah tangan dan kelakuan kita daripada menyakiti orang lain. Tidak kira sama ada memukul, mencuri, mengambil hak orang lain, menekan butang like atau share pada status yang mengaibkan seseorang di media sosial, merosakkan harta awam dan vandalisme merupakan perbuatan yang ditegah oleh Islam. Gunakan nikmat tangan dan tenaga kita ke arah ketaatan kepada Allah SWT.

Wallahuaklam.

Rujukan- Gen-Q 35:25 (6 TIKET VIP KE SYURGA YANG HARUS KITA MILIKI).

 

JAGA ADAB DI MASJID DAN SURAU

Masjid dan Surau ialah rumah Allah yang perlu dijaga kesuciannya. Justeru, walaupun ketika kita sedang melakukan ibadah, jangan dikesampingankan adab ketika di masjid dan surau.

Berikut ialah di antara adab-adab di masjid dan surau:

1) Ikhlas kerana Allah– Jangan rosakkan pahal amal dengan lari daripada niat sebenar kita ke masjid/surau semata-mata ingin mencari dan mendapatkan keredaan Allah.

2) Berjalan dengan tenang– Jika kita memandu kenderaan, pandulah dengan berhati-hati. Sekiranya kita ke masjid/surau dengan berjalan kaki, jalanlah dengan tenang. Keluar awal dari rumah supaya tidak tergesa-gesa kerana hendak mengejar takbir pertama bersama imam.

3) Wanita tidak boleh memakai minyak wangi– Bau wangi pewangi yang datang daripada wanita boleh mengundang fitnah apabila tercium oleh lelaki. Oleh sebab itu, wanita perlu mengelakkan diri daripada berwangi-wangian apabila datang ke masjid dan surau, Begitu juga perlu menjaga auratnya.

4) Mengagungkan masjid dan surau– Jaga tutur kata dan bertingkah laku yang baik ketika di masjid. Ikhtiarkan untuk menjaga wuduk (sentiasa dalam keadaan suci) sepanjang berada di masjid/surau untuk mengangungkan syiar Allah.

5) Tidak melakukan perkara sia-sia– Apakah yang sia-sia dilakukan di masjid/surau? Antaranya berbual-bual dengan ahli jemaah yang lain. Dalam dunia serba canggih ini, perbualan boleh jadi dilakukan melalui telefon bimbit; sama ada melalui panggilan telefon atau leka di laman sosial menerusi telefon pintar.

6) Menjaga kebersihan masjid– Masjid dan surau ialah milik kita bersama dan kebersihannya menjadi tanggungjawab kita bersama. Selain daripada tidak membuang sampah, meludah dan lain-lain di kawasan yang tidak sepatutnya, membersihkan kawasan masjid/surau perlu dilakukan sentiasa.  Ketika Ramadhan misalnya, setelah ditunaikan solat, susun semula sejadah yang telah digunakan, susun selipar di tangga masjid/surau dan pastikan makanan yang dimakan ketika berbuka dan moreh tidak mengotorkan kawasan masjid dan surau.

adab di masjid dan surau

Untuk kita amal dan sampaikan, In Shaa Allah.

Wallahuaklam.

RUjukan: Gen-Q 35:96 (JAGA ADAB DI MASJID DAN SURAU).